About Me

My photo
nok kato gapo pun tok reti..masuk lah tengok sendiri..

detik yg berlalu

AL-QURAN


ALLAH BERHAK MENENTUKAN RAHMATNYA


SAYYID Qutub berkata: Pembicaraan di permulaan pelajaran ini dihadapkan kepada "orang-orang yang beriman". Ia menyeru mereka dengan sifat istimewa mereka iaitu sifat mukmin yang mengikat mereka dengan Allah s.w.t. dan Rasul-Nya dan sifat mukmin yang merangsangkan hati mereka tampil menyebut seruan itu. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: "Ra'ina" (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: "Unzurna", dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Orang-orang kafir daripada ahli kitab, dan juga daripada orang-orang musyrik tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu sedikit daripada kebaikan (atau wahyu) daripada Tuhan kamu. Padahal Allah berhak menentukan rahmat-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah (jualah yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar. (Al-Baqarah: 104 dan 105)

Firman Allah: Wahai orang-orang yang beriman! Ini merupakan seruan daripada Allah s.w.t. bagi orang yang beriman yang dihadapkan percakapan kepada mereka seraya berfirman: Janganlah kamu mengatakan: "ra'ina". Syeikh Sya"rawi menyebut bahawa Sa"d bin Mu"az telah mendengar seorang Yahudi menyebut kepada Rasulullah dengan ra'ina, sedangkan Sa"d amat mengetahui maksud mereka dan memahaminya. Lantas beliau pergi kepada Yahudi tersebut seraya berkata: "Kalau aku mendengarnya sekali lagi daripadamu nescaya aku pancung lehermu."� Yahudi itu membalas: "Tidakkah kamu berkata kepada Nabimu? Adakah ia haram ke atas kami dan halal bagimu?"�

Kemudian turunnya ayat ini. Kalau kita perhatikan, perkataan ra'ina dan unzurna mempunyai makna yang sama tetapi perkataan unzurna tiada makna seerti pada bahasa Yahudi yang membawa kepada menghina dan menyakiti Rasulullah s.a.w.. (Ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad) iaitu perhatikan kami dan tangguhkan bagi kami sehingga kami mampu menjaga dan memelihara apa yang kamu amanahkan ke atas kami. Ibn al-Jauzi dalam kitabnya Zad al-Masir berkata: "Jumhur ulama membaca perkataan ra'ina tanpa tanwin (baris dua). Sedangkan al-Hasan, al-A"masyh dan Ibn al-Muhaisin membaca dengan tanwin.

Jika dibaca tanpa tanwin bermaksud meraikan dan jika dibaca dengan tanwin bererti tolol atau bebal kerana diambil daripada perkataan ru"unah. Dengan sifat mukmin inilah ia melarang mereka menggunakan kata-kata ra'ina kepada Rasulullah s.a.w. iaitu kata-kata yang diambil daripada kata dasar al-ri"ayah (perhatian) dan supaya mereka menggantikan perkataan itu dengan kata-kata lain yang seerti dengannya dalam bahasa Arab iaitu kata-kata unzurna dan seterusnya ia menyuruh mereka patuh dan taat serta mengingatkan mereka tentang nasib kesudahan orang-orang kafir yang akan menerima azab yang amat pedih.

Derhaka

Sebaliknya katakanlah: "unzurna" iaitu tunggu kami dan perhatikan kami dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); Taatilah segala arahan Allah s.w.t. dan kamu jangan jadi seperti Yahudi yang selalu berkata: "Kami dengar dan kami derhaka."�

Mengikut riwayat-riwayat, sebab dilarang menggunakan kata-kata ra'ina adalah kerana samseng-samseng Yahudi mentelorkan lidah mereka menyebut kata-kata itu apabila mereka tujukan kepada Rasulullah s.a.w. supaya ia memberi makna lain yang diambil daripada kata dasar al-Ra'unah yang bermaksud tolol atau bebal. Mereka takut memaki Nabi s.a.w. secara terbuka, lalu mereka mencari helah memaki Baginda dengan cara tidak langsung. Oleh itu, al-Quran melarang kaum Muslimin menggunakan kata-kata yang digunakan oleh kaum Yahudi untuk memaki Rasulullah s.a.w. dan menyuruh mereka menggantikannya dengan perkataan lain yang seerti dengannya dan tidak dapat diputarkan oleh samseng-samseng kaum Yahudi untuk menggagalkan tujuan mereka yang hina dan tolol. Penggunaan cara orang Yahudi ini menunjukkan hebatnya kemarahan dan hasad dengki mereka, betapa biadap dan hinanya cara mereka dan betapa rendahnya budi pekerti mereka.

Larangan ini juga sekali gus membayangkan perhatian serius Allah dan hemat pembelaan-Nya terhadap Rasulullah s.a.w. dalam menghadapi setiap tipu daya dan niat jahat musuh. "Dan (ingatlah bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma"ani berkata: Al-Lam pada perkataan kafir semata-mata li al-'Ahd yang bermaksud dikehendaki dengan orang kafir di sini merujuk kepada orang Yahudi sahaja. Bagi Yahudi yang menyakiti Rasul serta memakinya mereka akan dihukum dengan azab yang amat pedih. Kemudian al-Quran mendedahkan kepada kaum Muslimin niat-niat jahat dan sikap perseteruan yang tersembunyi dalam dada kaum Yahudi yang ada di sekeliling mereka serta perasaan hasad dengki yang berkecamuk dalam hati mereka disebabkan limpah kurnia yang Allah kurniakan kepada kaum Muslimin. Ini supaya mereka berwaspada, berpegang teguh dengan keimanan dan bersyukur serta menjaga limpah kurnia-Nya.
Al-Samarqandi dalam Bahr al-'Ulum pula berkata: "Yang dimaksudkan dengan kafir di sini ialah golongan Yahudi."� Seterusnya firman Allah: "Orang- orang kafir daripada ahli kitab, dan juga daripada orang-orang musyrik."� Ibn Abbas berkata, ahli kitab ialah penduduk Yahudi Madinah dan Kristian Najran. Sedangkan golongan musyrikin ialah musyrikin ahli Mekah. "Tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu sedikit daripada kebaikan (atau wahyu) daripada Tuhan kamu.

Orang kafir di kalangan Yahudi dan Kristian, begitu juga golongan musyrikin tidak suka diturunkan sesuatu kebaikan ke atasmu. Ini kerana sifat benci, marah serta hasad terhadapmu. Dikehendaki dengan kebaikan ialah kenabian dan Islam. Abu Sulaiman al-Dimasyqi berkata: "Dikehendaki dengan kebaikan ialah ilmu, fiqh dan hikmah."� Imam al-Nasafi dalam tafsirnya Madarik al-Tanzil berkata: Min (daripada) yang pertama untuk penerangan kerana mereka yang kafir terbahagi kepada dua: ahli kitab dan musyrikin. Sedangkan min (daripada) yang kedua sebagai tambahan untuk mengumumkan segala kebaikan. Seterusnya min (daripada) yang ketiga sebagai memulakan penghabisan dan kebaikan itu adalah wahyu, begitu juga dengan rahmah. Padahal Allah berhak menentukan rahmat-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya iaitu dengan keistimewaan kenabian, wahyu, kurniaan dan ihsan siapa yang dikehendaki daripada hamba-hamba-Nya. Allah s.w.t. lebih mengetahui kepada siapakah hendak diserahkan risalah-Nya.

Oleh itu, apabila Allah menyerahkan kepada Muhammad dan orang-orang yang beriman kepadanya, maka ini bererti bahawa Allah mengetahui bahawa Baginda dan pengikut-pengikutnya itu merupakan orang-orang yang wajar menerima limpah kurniaan-Nya. Rahmah dengan maksud:

1. Kenabian. Inilah pendapat Ali bin Abi Talib, Muhammad bin Ali bin al-Husain, Mujahid dan al-Zajjaj.
2. Dikehendaki dengan maksud Islam. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Muqatil.
3. Imam al-Baghawi berkata dalam tafsirnya Ma"alim al-Tanzil: Dikehendaki dengan rahmat ialah Islam dan hidayah. "dan Allah (jualah yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar"� iaitu Allah amat luas kurniaan dan ihsan. Saranan yang halus merangsang hati orang yang beriman serta memberi kesedaran betapa besarnya pemberian serta limpah kurniaan-Nya itu.

Begitu juga kenyataan al-Quran sebelum itu mengenai orang-orang kafir yang menaruh perasaan buruk terhadap kaum Muslimin itu dapat membangkit kesedaran supaya mengambil sikap sentiasa berhati-hati. Kesedaran ini perlu diwujudkan untuk menghadapi kempen-kempen yang bertujuan menimbulkan kegelisahan dan keraguan yang diterajui oleh kaum Yahudi untuk melemahkan akidah mereka yang beriman, sedangkan akidah itu pemberian Allah kepada kaum Muslimin.

Al-Quran menggabungkan orang-orang kafir, ahli-ahli kitab dan kaum musyrikin dalam satu barisan kekufuran. Golongan ini sama-sama mengingkari kerasulan yang terakhir, menaruh hasad dengki dan dendam kesumat terhadap para mukmin. Mereka tidak pernah berniat baik dan perkara yang paling tidak disukai mereka terhadap para mukmin ialah agama Islam. Ini kerana Allah telah memilih mereka mendukung agama ini dan menurunkan al-Quran kepada mereka serta memilih mereka untuk menerima nikmat ini dan menyerahkan kepada mereka amanah akidah di bumi ini.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Nota:Artikel ini adalah sumbangan nuraini, seorang warga Megasutra. Syabas dan ribuan terima kasih kami rakamkan.

0 comments:

Post a Comment

LEAVE YOUR COMMENT HERE

 
Copyright @ 2008 lidahpahit: ALLAH BERHAK MENENTUKAN RAHMATNYA | Original design By iEn | Modified By lidahpahit| Resolution: 1024x768 | Best View: Firefox 3.0 | Top