BannerFans.com

About Me

My photo
nok kato gapo pun tok reti..masuk lah tengok sendiri..

detik yg berlalu

AL-QURAN


KEAJAIBAN SYURGA TIDAK BOLEH DIGAMBARKAN


ABU Hurairah berkata: "Ya Rasulullah saw daripada apakah dibuat syurga itu? Jawab Baginda: "Daripada air." Kami bertanya: "Beritakan mengenai bangunan syurga!"

Jawab Rasulullah bermaksud: "Satu bata daripada emas dan satu bata daripada perak dan lantainya kasturi yang semerbak harum, tanahnya dari zafaran, kerikilnya mutiara dan yakut. Siapa yang masuk dalamnya senang tidak susah, kekal tidak mati, tidak lapuk pakaiannya, tidak berubah mukanya."

Nabi bersabda lagi bermaksud: "Tiga macam doa yang tidak akan tertolak: Imam (pemimpin hakim) yang adil. Orang puasa ketika berbuka. Orang yang teraniaya, maka doanya terangkat di atas awan, dilihat oleh Tuhan, lalu berfirman: Demi kemuliaan dan kesabaran-Ku, Aku akan bela padamu walau hanya menanti masanya."

Abu Hurairah berkata lagi, Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesungguhnya dalam syurga ada pohon besar sehingga seorang yang berkenderaan dapat berjalan di bawah naungannya selama 100 tahun tidak putus naungannya. Bacalah: Wa dhilin mamdud (dan naungan yang memanjang terus)."

Dan dalam syurga, kesenangannya yang tidak pernah dilihat mata atau didengar oleh telinga, bahkan tidak pernah terlintas dalam hati (perasaan) manusia. Bacalah kamu: Maka tidak seorang pun yang mengetahui apa yang tersembunyi bagi mereka daripada kesenangan yang memuaskan hati sebagai pembalasan apa yang telah mereka lakukan.

Dan tempat pecut dalam syurga lebih baik dari dunia seisinya. Bacalah ayat yang bermaksud: Maka siapa dijauhkan daripada api dan dimasukkan dalam syurga bererti telah untung."

Ibn Abbas berkata: "Sesungguhnya dalam syurga ada bidadari yang dijadikan dari empat macam: misik, anbar, kafur dan zafaran, sedangkan tanahnya dicampur dengan air hidup (hayawan) dan setelah dijadikan, maka semua bidadari asyik kepadanya. Andaikan ia berludah dalam laut, tentu menjadi tawar airnya, tercantum pada lehernya: Siapa yang ingin mendapat isteri seperti aku, maka hendaklah taat kepada Tuhanku."
Mujahid berkata: "Bumi syurga daripada perak dan tanahnya daripada misik dan urat pohonnya daripada perak, sedang dahannya daripada mutiara dan zabarjad, sedang daun dan buahnya di bawah itu. Maka, siapa yang makan sambil berdiri tidak sukar dengan duduk juga tidak sukar dan sambil berbaring juga tidak sukar, kemudian membaca ayat: Dan dimudahkan buah-buahnya sehingga semudah-mudahnya. Sehingga dapat dicapai oleh orang yang berdiri mahupun yang duduk dan berbaring."

Abu Hurairah berkata lagi: "Demi Allah yang menurunkan kitab pada Nabi Muhammad. Sesungguhnya ahli syurga tiap saat bertambah elok cantiknya, seperti dulu di dunia bertambah tua."

Abul-Laits pula meriwayatkan dengan sanadnya daripada Shuhaib berkata, Rasulullah bersabda bermaksud: "Apabila ahli syurga masuk ke syurga dan ahli neraka telah masuk ke neraka, maka ada seruan. Hai ahli syurga Allah akan menepati janji-Nya kepada kamu. Mereka berkata: Apakah itu, tidakkah telah memberatkan timbangan amal kami dan memutihkan wajah kami dan memasukkan kami ke dalam syurga dan menghindarkan kami dari neraka.

Maka, Allah membukakan bagi mereka hijab sehingga mereka dapat melihat-Nya, demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya belum pernah mereka diberi sesuatu yang lebih senang daripada melihat kepada zat Allah."

Anas bin Malik berkata: "Jibril datang kepada Nabi membawa cermin putih yang di tengahnya ada titik hitam, maka Nabi bertanya kepada Jibril: Apakah cermin yang putih ini? Jawabnya: Ini hari Jumaat dan titik hitam ini saat mustajab yang ada pada Jumaat, telah dikurniakan untukmu dan umatmu, sehingga umat sebelummu berada di belakangmu, iaitu Yahudi dan Nashara (Kristian).

Dan ada saat pada Jumaat, jika seorang mukmin bertepatan berdoa untuk kebaikan pada saat itu, pasti ia akan diterima oleh Allah atau berlindung kepada Allah daripada suatu bahaya pasti akan dihindarkannya dan Jumaat di kalangan kami (malaikat) dinamakan yaumul mazid (hari tambahan)."

Nabi bertanya: "Apakah yaumul mazid itu? Jawab Jibril: Tuhan telah membuat lembah di syurga jannatul firdaus, di sana ada anak bukit dari misik kasturi dan pada tiap Jumaat di sana disediakan mimbar-mimbar daripada nur (cahaya) yang diduduki oleh nabi. Dan ada mimbar-mimbar daripada emas bertaburan permata yaqut dan zabarjada diduduki siddikin suhada dan salihin, sedangkan ahli ghurof (yang di bilik syurga) berada di belakang mereka di atas bukit kecil itu, berkumpul menghadap kepada Tuhan untuk memuja muji kepada Allah, minta (Kami mohon keredaanMu)."

Jawab Allah: Aku telah reda kepadamu, keredaan sehingga kamu Aku tempatkan di rumah-Ku dan Aku muliakan kamu. Kemudian Allah menampakkan kepada mereka, sehingga mereka dapat melihat zat-Nya, maka tidak ada hari yang mereka suka seperti Jumaat, kerana mereka berasa bertambahnya kemuliaan kehormatan mereka."

Dalam riwayat lain Allah menyuruh malaikat: "Berikan makan kepada wali-Ku, maka dihidangkan pelbagai makanan, maka terasa pada tiap suap rasa yang lain dari semula, bahkan lebih lazat, sehingga apabila selesai makan, diperintahkan oleh Allah: Berikan minum kepada hamba-hamba-Ku, maka diberi minuman yang dapat dirasakan kelazatannya pada tiap teguk dan ketika telah selesai."

Maka, Tuhan berfirman yang bermaksud: Akulah Tuhanmu telah menepati apa yang Aku janjikan kepadamu dan kini kamu boleh minta nescaya Aku berikan permintaanmu. Jawab mereka. Kami minta reda-Mu, Kami minta reda-Mu, dua atau tiga kali. Dijawab oleh Allah: Aku reda kepadamu, bahkan masih ada tambahan lagi daripada-Ku, pada hari ini Aku muliakan kamu dengan kehormatan yang terbesar dari semua yang telah kamu terima, maka dibukakan hijab sehingga mereka dapat melihat zat Allah sekehendak Allah, maka segeralah mereka bersujud kepada Allah sekehendak Allah, sehingga Allah menyuruh mereka: Angkatlah kepalamu sebab kini bukan masa beribadat, maka di situ mereka lupa pada nikmat-nikmat yang sebelumnya dan terasa benar bahawa tidak ada nikmat lebih besar daripada melihat zat Allah yang mulia."

Kemudian mereka kembali maka semerbak bau harum dari bawah arsy dari bukit kasturi yang putih dan ditaburkan di atas kepala mereka di atas ubun-ubun kuda mereka, maka apabila mereka kembali kepada isteri-isterinya terlihat bertambah indah lebih daripada semula ketika mereka meninggalkan mereka, sehingga isteri mereka berkata: Kamu kini lebih elok daripada yang biasa.

Abul-Laits berkata: "Terbuka hijab, bererti hijab yang menutupi mereka untuk melihat-Nya. Dan erti nasihat kepada-Nya, yakni melihat kebesaran yang belum pernah terlihat sebelumnya." Tetapi kebanyakan ahli ilmu mengertikan : Melihat zat Allah tanpa perumpamaan

Petikan Mastika Hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Nota:Artikel ini adalah sumbangan khalifah, seorang warga Megasutra. Syabas dan ribuan terima kasih kami rakamkan.


0 comments:

Post a Comment

LEAVE YOUR COMMENT HERE

 
Copyright @ 2008 lidahpahit: KEAJAIBAN SYURGA TIDAK BOLEH DIGAMBARKAN | Original design By iEn | Modified By lidahpahit| Resolution: 1024x768 | Best View: Firefox 3.0 | Top